Lembaga Tabung Haji (TH) akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, keputusan itu dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguh penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pemergian kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan yang amat mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan penangguhan ini, semua bakal haji yang giliran mereka diperuntukkan pada tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021.

“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberi peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” tambah beliau.

Dalam pada itu, TH berkata, semua bayaran haji yang telah didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat.

Jumlah bayaran haji tersebut juga layak menerima agihan keuntungan bagi tahun 2020.

TH berkata, semua bakal haji dimohon bersabar serta menerima keputusan itu dengan reda dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada tahun hadapan.