KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan terutamanya terhadap kilang-kilang dan kawasan perindustrian perlu dilakukan dalam usaha menangani masalah pencemaran sungai di Selangor.

Aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata, pemantauan berkala dan penguatkuasaan efektif juga sebenarnya mampu untuk mengenal pasti kilang-kilang yang tidak sepatutnya berada di sesetengah kawasan atau kilang haram.

Tegasnya, kilang-kilang haram perlu dibanteras sebaiknya kerana didapati melakukan banyak pencemaran air sebelum ini.

BACA: EMIR Research cadang dua strategi radikal tangani pencemaran sungai di Selangor

“Kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan kilang-kilang yang banyak mencemarkan sungai ini dan menyusahkan rakyat, berjuta orang terkesan dan menjejaskan ekonomi negeri dan seterusnya kesihatan rakyat juga.

“Jadi ini perlu dilaksanakan, namun, saya sedar dalam usaha untuk melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan, kita hadapi banyak masalah terutamanya dari sudut sumber manusia dan masa.

“Kadangkala, kilang dan industri ini mencemar sungai di luar waktu kerja, jam 3 ke 4 pagi. Pada waktu itulah, mereka membuang sisa bahan kimia ke dalam sungai,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Isnin.

Sampah | 77,000 tan metrik dikeluarkan dari Sungai Klang

Tambah beliau, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan juga boleh melihat peluang untuk mengurangkan pencemaran dengan bekerjasama secara terus bersama pemain industri.

“Mungkin ada kilang-kilang yang berminat untuk merawat sisa toksik mereka sebelum dibuang ke dalam sungai tapi kosnya sangat tinggi dan kita pun tahu kosnya sangat tinggi.

“Mungkin perlu ada usaha antara kerajaan negeri malah kerajaan Persekutuan dengan kilang dan industri untuk cari jalan bantu kilang ini yang telah banyak bantu negara untuk terus beroperasi.

“Tapi dalam masa sama, mereka tidak terus menghasilkan sisa toksik yang mencemarkan air. Kita perlu lihat kepada peluang-peluang ini,” katanya memberi saranan.

Strategi drastik tangani pencemaran sungai