Wakil rakyat dan pemimpin politik di negara ini tidak perlu malu sekiranya tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, kata Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sebaliknya, kata beliau, mereka haruslah telus mengenai latar belakang akademik masing-masing.

Jelasnya, dalam dunia tanpa sempadan ini, semua maklumat boleh diperolehi dengan mudah menerusi internet.

Justeru katanya, kejujuran adalah polisi terbaik diamalkan semua wakil rakyat yang mahu berkhidmat kepada rakyat.

Ini kerana integriti ahli politik diukur berdasarkan kredibiliti, prestasi dan kemampuan mereka dalam menjalankan amanah rakyat.

"Ini zaman maklumat di hujung jari anda. Kita kena jujur mengenai kelayakan dan ijazah kita, kerana bagi saya mereka perlu ada integriti.

"Tak perlu malu sebab anda hendak jadi ahli politik. (Allahyarham) Tun Ghafar Baba tiada ijazah, dia cuma guru biasa, tetapi sebagai ahli politik beliau cemerlang dalam menjalankan tugasnya," kata Muhammad Bakhtiar ketika ditemui selepas majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Negeri di Bayan Baru pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya enggan mencampuri masalah yang dihadapi Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya namun berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu ) dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

"Saya rasa elok keputusan itu kita serahkan pada Bersatu untuk menentukannya. Saya tak mahu masuk campur," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Marzuki yang didakwa memiliki ijazah sarjana muda palsu dari sebuah universiti luar negara.

BACA: Isu sijil akademik: Marzuki serahkan kepada Perdana Menteri

BACA: MB Johor hanya senyum, enggan jawab dakwaan miliki sijil palsu

Marzuki dalam sebuah portal dilaporkan menjelaskan bahawa ijazah yang beliau miliki dalam pentadbiran perniagaan adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat, dan bukan Universiti Cambridge di United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan ijazah sarjana muda daripada Universiti Cambridge.