KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diharap tidak mengambil langkah terburu-buru dalam isu cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata banyak isu perlu dikaji sebelum cadangan itu dilaksanakan terutama masa depan penjawat awam selepas menamatkan perkhidmatan.

"Pelaksanaan cadangan ini juga pasti akan memberi kesan kepada perundangan negara berikutan skim pencen sebenarnya telah ada dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Skim pencen adalah satu keistimewaan bagi penjawat awam yang sebahagian besarnya merupakan Bumiputera. Ia dipandang sebagai sesuatu yang penting sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di sini, semalam.

Mohamed Fadzli berkata skim pencen juga menjadi tarikan utama kepada lepasan universiti untuk menyertai perkhidmatan awam.

Beliau berkata antara sebab siswazah mahu menyertai sektor awam adalah jaminan pencen selepas tamat perkhidmatan.

"Apabila skim ini sudah tiada, kita bimbang orang ramai tidak lagi berminat kepada perkhidmatan awam, seterusnya beralih kepada sektor swasta dan sebagainya.

"Jadi kerajaan perlu memikirkan alternatif terbaik jika skim pencen dimansuhkan termasuk cadangan tangga gaji lebih tinggi dan sebagainya," katanya.

Selain itu, beliau berkata isu cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini masih dalam peringkat kajian dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan.

"Proses pelaksanaan masih lagi berjalan selepas peringkat pendengaran awam. Sekarang ini semua jawatankuasa terlibat membuat penelitian dan apabila semua proses tersebut sudah tamat, saya akan maklumkan perkembangannya kemudian," katanya.

-- BERNAMA