Usah terlalu asyik dengan telefon, sebaliknya isilah masa yang begitu berharga dengan berinteraksi bersama-sama sanak saudara dan handai taulan.

Ingatan itu diberi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang berkata malah anggota keluarga sendiri pun tidak menggunakan saat ketika mereka berkumpul bersama, untuk berbual-bual atau bertanyakan khabar.

"Mereka lebih gemar mencapai telefon bimbit untuk memeriksa atau membalas mesej, bermain 'games', melayari internet atau membuat panggilan," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kementerian berkenaan di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah adalah antara tetamu yang hadir.

Rohani berkata ketika beliau berjalan sekitar kawasan majlis rumah terbuka itu untuk menyambut dan beramah mesra dengan para hadirin, beliau terserempak dengan tetamu di sebuah meja yang langsung tidak berbual-bual sesama mereka, sebaliknya lebih asyik dengan telefon sendiri.

Amalan ini, katanya, sudah menjadi lumrah.

"Saya tahu telefon bimbit merupakan alat komunikasi peribadi yang sangat penting tetapi masyarakat tidak boleh membiarkannya menguasai kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata nilai murni seperti sentiasa memperkukuhkan ikat kekeluargaan menerusi interaksi rapat atau secara peribadi adalah perkara yang sentiasa ditekankan oleh kementeriannya.

"Kami mahu supaya institusi kekeluargaan menjadi sangat kukuh. Kami juga mahu ikatan kaum dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia turut kukuh.

"Jadi saya harap anggota keluarga atau masyarakat akan ketepikan telefon bimbit ketika mereka duduk bersama-sama semasa makan malam atau majlis sosial yang besar supaya dapat berinteraksi," katanya.