Ringkasan AI
- Tiada etnik Rohingya dihantar pulang ke Myanmar dalam proses penghantaran pulang rakyat Myanmar oleh Malaysia setakat ini.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penghantaran pulang hanya dilakukan dengan persetujuan individu terbabit, tanpa paksaan, dan dengan jaminan hak asasi manusia.
- Isu penghantaran pulang Rohingya akan dibangkitkan Anwar dalam pertemuan dengan Presiden Myanmar dalam masa terdekat.
KUALA LUMPUR: Usaha penghantaran pulang warga Myanmar oleh kerajaan Malaysia merangkumi semua rakyat negara berkenaan tanpa bersifat eksklusif kepada etnik Rohingya semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perjanjian dan proses pemulangan itu melibatkan pelbagai etnik termasuk Arakan, Karen, Shan serta Rohingya, berasaskan persetujuan sukarela dan jaminan hak asasi manusia.
"Dalam perjanjian kita, kita bawa pulang rakyat Myanmar, sama ada Arakan, Shan, Karen atau Rohingya. Kita berikan jaminan hanya dengan persetujuan mereka, barulah kita bawa pulang untuk menjamin hak asasi.
"Yang pulang itu adalah yang menandatangani, mereka setuju tanpa paksaan," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai status etnik Rohingya, Anwar menjelaskan bahawa setakat ini belum ada individu daripada etnik tersebut dihantar pulang kerana perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
Beliau bagaimanapun akan membangkitkan isu tersebut dalam pertemuannya bersama Presiden Myanmar dalam masa terdekat bagi memastikan sebarang langkah diambil secara teratur.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia bertegas mahu memastikan setiap rakyat Myanmar yang dihantar pulang menerima layanan munasabah dan terpelihara daripada sebarang bentuk pelanggaran hak asasi.
Jaminan berkenaan, katanya, telah diberikan oleh pihak berkuasa Myanmar menerusi siri rundingan sebelum ini, termasuk dalam pertemuan beliau bersama Menteri Luar Myanmar di Beijing.
"Saya tatkala bertemu Presiden Myanmar dalam beberapa hari ini akan bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani sebaik mungkin," jelasnya lagi.