MALAYSIA
Usaha henti 'counter setting' diperhebat - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily ketika bercakap kepada pengamal media mengenai warga asing yang ditahan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. -- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Usaha membanteras kegiatan 'counter setting' di pintu masuk negara akan dipertingkatkan menerusi dasar sokongan yang lebih kukuh, kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Ringkasan AI
- AKPS perketat kawalan pintu masuk negara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan memperkukuh dasar untuk membanteras kegiatan 'counter setting' dengan hanya menerima anggota tanpa rekod tatatertib.
- Penahanan pegawai imigresen terlibat rasuah Seorang pegawai imigresen ditahan bersama wang tunai dan telefon bimbit kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan disiasat di bawah Akta SPRM.
- Cadangan mekanisme tamat perkhidmatan lebih tegas Ketua Pengarah AKPS mencadangkan skim atau mekanisme undang-undang yang lebih efisien untuk menamatkan perkhidmatan penjawat awam yang terbabit dalam rasuah, dengan kerjasama agensi berkaitan.
"Kami masih lagi berbincang dan ingin membuat satu dasar sekiranya boleh, untuk menerima mereka yang tidak mempunyai rekod tatatertib ataupun sebagainya, untuk memastikan barisan ini dikawal rapi," katanya dalam sidang media di sini semalam.
Mohd Shuhaily berkata beliau secara peribadi mahu menghentikan 'counter setting' dengan sokongan dasar dan kerjasama daripada para pegawai.
Sementara itu katanya seorang pegawai imigresen berusia awal 30-an ditahan semalam bersama wang tunai kira-kira RM8,000 dan tiga unit telefon bimbit selepas disyaki terlibat kegiatan 'counter setting'.
Mohd Shuhaily berkata pegawai yang baru berkhidmat selama empat tahun itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17A Akta SPRM.
Beliau berkata isu salah laku sebegitu berulang disebabkan tiada mekanisme yang membolehkan jabatan menamatkan perkhidmatan serta-merta.
Mohd Shuhaily berkata ramai yang tidak faham mengenai tatacara tindakan tatatertib terhadap penjawat awam malah menyangkakan pegawai terlibat dalam isu rasuah ditukar ke tempat lain bagi mengalihkan masalah.
"Sebagai penjawat awam, mereka tertakluk kepada arahan dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan dan seseorang pegawai perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri dan membela diri mereka.
"Proses itu tidak mudah, malah memerlukan masa, oleh itu tindakan awal yang boleh diambil oleh ketua jabatan adalah menukarkan pegawai terbabit ke lokasi lain," katanya.
Mohd Shuhaily berkata beliau secara peribadi telah menyuarakan cadangan supaya diwujudkan satu skim atau mekanisme yang lebih berkesan dan ketat supaya jabatan boleh menamatkan perkhidmatan penjawat awam yang terlibat dalam amalan rasuah dengan lebih cepat dan efisien.
Namun katanya perkara itu perlu dibincangkan secara lebih mendalam dari sudut perundangan bersama pihak Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami