MALAYSIA
Pembangunan negara maju perlu berteraskan nilai kemanusiaan - PM Anwar

Anwar (foto) menegaskan bahawa pembangunan negara maju perlu berteraskan nilai kemanusiaan seperti akhlak, disiplin dan semangat ihsan, bukan semata-mata pencapaian ekonomi atau teknologi. -Foto Bernama
MERSING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan sebuah negara maju perlu berteraskan nilai kemanusiaan seperti akhlak, disiplin serta semangat ihsan.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan negara maju perlu berteraskan nilai kemanusiaan seperti akhlak, disiplin dan semangat ihsan, bukan semata-mata pencapaian ekonomi atau teknologi.
- Beliau menyeru agar nilai-nilai pengakap seperti persaudaraan dan kemahiran diterapkan dalam kehidupan, sambil mengkritik gejala sosial seperti buli yang bertentangan dengan semangat MADANI.
- Anwar mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Pengakap Malaysia sempena PAPJ27 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara sebagai simbol persahabatan merentasi sempadan.
Sehubungan itu, beliau berkata nilai-nilai kemanusiaan yang ditekankan dalam persatuan pengakap seperti disiplin, kemahiran dan persaudaraan perlu diterapkan dalam kehidupan kerana kemanusiaan tidak dapat dibentuk menerusi mesin atau AI.
"Malaysia sebagai negara MADANI betul nak pacu pertumbuhan ekonomi, betul nak menguasai digital, tenaga baharu, AI, tetapi yang kita nak latih dan pupuk itu semangat manusia.
"Manusia ini tidak boleh dibentuk hanya dengan mesin, dia dibentuk dengan akhlak, disiplin, dengan semangat ihsan antara kawan-kawan, keluarga, kawan-kawan sekolah dan pelbagai kaum serta agama di negara kita ini," katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.
Menurut Anwar prinsip Islam yang menekankan kasih sayang terhadap sesama makhluk juga mesti menjadi panduan kerana tanpanya manusia akan menjadi rakus dengan merosakkan alam sekitar termasuk penebangan hutan secara berleluasa.
Menyentuh berkaitan isu sosial seperti gejala buli di sekolah, beliau berkata ia bertentangan dengan nilai kemanusiaan sebenar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Pengakap Malaysia bagi menjayakan program perkhemahan tersebut.
"Untuk perkhemahan ini saya umum RM100,000 (untuk jayakan lagi program ini). Saya cuba paling lambat hari Isnin ini (supaya peruntukan itu diluluskan) kerana kita tidak mahu lambatkan (proses penyalurannya)," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pengakap dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Indonesia, Hong Kong dan beberapa delegasi antarabangsa yang hadir menyertai PAPJ27, yang disifatkannya sebagai bukti persahabatan merentasi sempadan.
PAPJ27 yang berlangsung bermula hari ini hingga 17 Sept di sini menghimpunkan lebih 4,000 pengakap dari seluruh Malaysia dan negara jiran sebagai medan memperkukuh disiplin, perpaduan serta persahabatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami