KUALA LUMPUR: Rangkaian pengganas dengan pantas telah beralih ke ruang dalam talian termasuk platform permainan dan aplikasi pemesejan peribadi sekali gus menjadikan usaha meradikalkan golongan muda sebagai ancaman keganasan yang semakin serius, menurut pakar.
Penyelidik Kajian Sejarah dan Pertahanan Asia Tenggara Enzo Sim berkata rangkaian keganasan moden tidak lagi bergantung pada kem pengambilan fizikal semata-mata, sebaliknya kumpulan pelampau semakin mengeksploitasi platform digital untuk mencapai golongan muda yang mudah terpengaruh (vulnerable).
“Hari ini, rangkaian keganasan telah berkembang dengan licik dan pantas dengan menjadi ruang dalam talian.
"Mereka telah menyusup masuk ke dalam persekitaran permainan, contohnya, permainan popular Roblox. Dan juga, mereka telah memasuki mesej separa tersulit (semi-encrypted) termasuk ruang seperti WhatsApp, untuk menerapkan idea radikal dalam golongan muda," katanya pada program The Nation Bernama TV bertajuk '9/11: 25 Years On: What Did We Learn?' pada Jumaat.
Sim berkata golongan muda boleh diradikalkan dalam talian tanpa mempunyai sebarang kaitan langsung dengan pertubuhan pengganas tradisional, sambil menambah bahawa ancaman itu juga telah berkembang melebihi apa yang secara tradisinya dilihat sebagai "pelampau jihad".
Beliau berkata hal itu boleh merangkumi kekaguman dengan keganasan, kebencian terhadap wanita, etnonasionalisme, pemisahan, ekstremisme sayap kanan dan ekstremisme kiri.
Penolong Profesor Dr Ahmad El-Muhammady dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata perubahan sifat proses meradikalkan (radicalisation) memerlukan pemahaman yang lebih luas tentang mengapa individu menjadi terdedah kepada naratif ekstremis.
Menurutnya, gabungan politik atau agama tidak lagi diperlukan untuk usaha meradikalkan ini, kerana individu boleh dipengaruhi oleh pendedahan kepada keganasan, kelemahan psikologi dan pengalaman seperti buli.
Bagaimanapun, beliau berkata kemarahan yang wajar terhadap konflik antarabangsa dan ketidakadilan yang dirasakan tidak seharusnya secara automatik dilabelkan sebagai ekstremisme, khususnya berkaitan konflik Gaza.
Mengimbau serangan 11 Sept 2001, Sim berkata insiden itu adalah sesuatu yang mengejutkan pada mulanya, namun tindak balas antarabangsa yang akhirnya mengubah landskap keselamatan global.
"Akhirnya, cara kita bertindak balas terhadapnya yang benar-benar mengubah dunia yang kita diami sekarang," katanya memberi contoh keselamatan penerbangan yang lebih ketat dan pemantauan lebih rapi terhadap pembiayaan pengganas.
Mengenai Malaysia, Sim berkata negara harus terus berwaspada tanpa membiarkan rasa takut menentukan dasar memerangi keganasannya manakala El-Muhammady menekankan kepentingan pencegahan, pemulihan dan pengukuhan nilai serta identiti diri sebagai sebahagian daripada usaha negara mencegah ekstremisme ganas.
-- BERNAMA