KUALA LUMPUR: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan negara tidak harus ternoktah dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin.

Mohd Zaffarollah menegaskan biarpun UMNO mengalami kekalahan teruk, namun ia tidak seharusnya mengubah apa-apa keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Kita semua harus memberi peluang kepada PMX untuk terus menerajui perancangan Ekonomi Madani sehingga tamat penggal.

"UMNO pula harus muhasabah diri sama ada mahu membuat perubahan atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada PRN di enam negeri 12 Ogos lalu, UMNO memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dan ia dianggap prestasi terburuk parti itu dalam siri pilihan raya yang disertainya.

Berikutan keputusan tersebut terdapat pemimpin UMNO yang mendesak agar presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Namun, ada juga yang memberi pandangan bahawa prestasi buruk UMNO itu tidak seharusnya dibebankan di bahu Ahmad Zahid semata-mata sebaliknya semua anggota Majlis Kerja Tertinggi parti itu perlu bertanggungjawab.