Tun Dr Mahathir Mohamad berharap usaha untuk meningkatkan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang sebenar terus dilipat ganda dan dipergiat, dengan pendekatan-pendekatan yang sesuai.

Perdana Menteri berkata usaha ini penting bagi membuktikan bahawa rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera, dinaungi oleh agama Islam yang membawa rahmat kepada semua.

"Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ikutan sepanjang hayat, agar kita semua memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat," katanya dalam satu catatan di laman Twitter rasminya pada Jumaat.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Dr Mahathir juga berkata umat Islam wajar menghargai kemajmukan, melestarikan kehidupan dalam kedamaian, serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.

Ciri-ciri tersebut katanya, boleh dicapai dengan menitikberatkan ajaran Islam dalam kehidupan yang berlandaskan Al-Quran dan hadis yang sahih.

"Kita sebut agama Islam yang sebenar kerana terdapat banyak tafsiran dan ajaran Islam yang disalah tafsir, dipengaruhi oleh kepentingan lain. Inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak," katanya yang juga mengucapkan "Salam Maulidur Rasul 1441H".

Beliau mengakhiri catatan itu dengan menyatakan "Negara Rahmah, Ummah Sejahtera".

-- BERNAMA