KUALA LUMPUR: Golongan wanita Bumiputera luar bandar terus menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi negara, khususnya dalam bidang keusahawanan.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi memastikan wanita luar bandar bukan sahaja berilmu, malah mampu menceburi dan mengembangkan potensi dalam dunia perniagaan.
Advertisement
Beliau menegaskan, aspek pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pembangunan wanita luar bandar.
Melalui pendidikan, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup, tetapi juga membina asas kukuh dalam bidang keusahawanan.
“Wanita luar bandar ini berilmu. Jadi, aspek pendidikan amat penting dalam usaha kita mencorakkan pembangunan wanita luar bandar. Berdasarkan pendidikan inilah kita dapat mencorakkan sosioekonomi dan juga keusahawanan dalam kalangan mereka,” katanya dalam program PuTERA35.
Tambah beliau, pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KKDW bagi menyokong pembangunan tersebut.
Dalam masa sama, Rubiah tidak menafikan masih wujud beberapa cabaran yang perlu ditangani, khususnya dalam kalangan usahawan wanita luar bandar.
Antaranya termasuk kekangan dalam aspek pengurusan perniagaan, pembangunan produk, akses kepada pembiayaan modal serta pemasaran.
Jelasnya, isu-isu ini merupakan sebahagian daripada rantaian cabaran yang sering dihadapi, namun telah diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan keusahawanan wanita.
“Walaupun ramai usahawan wanita berjaya dilahirkan di luar bandar, kita masih berdepan kekangan dari sudut pengurusan, produk, pembiayaan dan juga pasaran,” ujarnya.
Sehubungan itu, usaha berterusan akan diperkukuh bagi memastikan lebih ramai usahawan wanita luar bandar mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara inklusif.