MALAYSIA
Ustaz Farid Abu Auliya didenda RM2,800 mengajar agama tanpa tauliah
SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas yang disiasat berhubung kes jenayah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu atas satu pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah tahun lalu.
Ringkasan AI
- Faridul Firdaus Zaulkapli didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas mengaku bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau pada 2 September 2024.
- Mahkamah turut mengenakan penalti RM1,500 kerana gagal hadir ke prosiding pada 21 Mei lalu, dan memerintahkan hukuman penjara 10 hari jika denda tidak dibayar.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, susulan aduan kepada JAIS; tertuduh merayu hukuman ringan atas faktor tanggungan keluarga dan menyatakan tauliah telah tamat pada Jun 2024.
Mahkamah memerintahkan lelaki yang mempunyai 10 anak itu dipenjara selama 10 hari sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang mempunyai dua isteri itu didakwa mengajar perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah surau di Seksyen 19 di sini pada jam 8.15 hingga 8.40 malam 2 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pihak penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak selepas mendapat aduan berhubung kes terbabit.
Ketika kejadian, tertuduh didapati duduk di meja penceramah di hadapan 30 jemaah lalu menunaikan solat Isyak di surau terbabit.
Dia kemudiannya ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen tauliah mengajar agama.
Semasa prosiding, Pendakwa Raya Syarie, Siti Nor Hashibah Jamhari mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara untuk tempoh maksimum termasuk denda.
"Kesalahan yang dilakukan tertuduh ialah bersifat sengaja kerana dia sedar tidak mempunyai pengtauliahan daripada pihak berkuasa.
“Saya membantah tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana dia tidak menghormati sistem kehakiman di Selangor,” katanya.
Bagaimanapun, Faridul Firdaus merayu dikenakan hukuman ringan kerana hilang pendapatan.
Dia merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana perlu menyara ibu bapa, dua isteri dan anak-anak iaitu bongsu berusia sembilan bulan manakala sulung berusia 14 tahun.
“Sebenarnya pentauliahan saya tamat pada Jun 2024 maka saya membuat rayuan kepada pejabat agama.
“Saya menyesal dengan kesalahan ini dan tiada niat untuk mencemar undang-undang,” katanya sebak.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Syarie, Siti Rahmah menasihati tertuduh supaya mematuhi undang-undang yang digubal bagi membendung sebarang penyelewengan.
“Nak ajar agama kena ada tauliah, undang-undang digubal untuk mencegah orang menyeleweng atau ajaran sesat,” katanya.
Sementara itu, di mahkamah sama, Faridul Firdaus turut dikenakan penalti RM1,500 kerana gagal hadir ke prosiding pada 21 Mei lalu atas kesalahan sama sehingga waran tangkap dikeluarkan.
Sebelum ini, polis menyiasat seorang penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video membabitkan isterinya dan beberapa wanita lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan laporan daripada pengadu, pada 16 Jun lalu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami