Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang untuk dibahas dan diluluskan pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, tarikh sebenar pembentangan usul itu akan ditentukan kemudian selepas perbincangan antara beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Pembentangan usul persempadanan semula akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diperbahaskan dan pengundian akan dijalankan sama ada pengundian secara belah bahagi atau kaedah suara.
“Manakala tarikh untuk pembentangan usul berkenaan belum ditentukan kerana terdapat perbahasan titah diraja dan selepas itu ada jawapan oleh menteri-menteri diikuti pembentangan akta-akta baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-25 di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam yang menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri tanah melayu kepada Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata urusan kajian semula tersebut selesai dijalankan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 113 (10) Perlembagaan Persekutuan.
Dengan penyerahan laporan akhir ini, bermakna tugas dan tanggungjawab SPR dalam melaksanakan urusan persempadanan semula selesai seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.