KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu membentangkan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, selepas usul tersebut gagal diluluskan pada Mac lalu.

Ia bagi membatalkan usul yang dibentangkan pada 23 Mac lalu, supaya subseksyen 4(5) Akta SOSMA hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementerian mengakui penolakan usul tersebut amat mendukacitakan KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

"Namun, memikirkan kemaslahatan Keluarga Malaysia serta berteraskan prinsip Maqasid Syariah, kementerian ini berhasrat untuk mengemukakan sekali lagi usul pelanjutan tempoh 28 hari ini untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

"Walau bagaimanapun, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, pembentangan semula usul yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat sebelum ini dibenarkan dengan membawa usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat sebelum ini terlebih dahulu," katanya ketika mencadangkan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, senarai kesalahan di bawah Jadual Pertama SOSMA 2012 merupakan kesalahan jenayah yang amat serius, kompleks serta boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam yang memerlukan tempoh siasatan yang panjang.

Jelas beliau, dalam tempoh 24 Mei hingga pertengahan Julai ini, PDRM telah menangkap 58 individu di bawah SOSMA dalam pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api ke negara jiran.

"Jika tidak dilanjutkan usul ini, akan menyebabkan terbantut usaha PDRM dari segi siasatan dan suspek-suspek akan terlepas. Ini hanyalah sebilangan kecil contoh-contoh kes yang disiasat di bawah SOSMA.

"Sekiranya tempoh 28 hari ini tidak dilanjutkan, kementerian bimbang usaha untuk menangani kumpulan jenayah terancang dan ancaman kumpulan keganasan akan terjejas terutamanya kes-kes yang sedang disiasat pada bulan Julai ini.

"Saya percaya jika suspek-suspek ini dilepaskan, suspek ini boleh mengganggu rantaian bukti dan kesannya jenayah-jenayah keselamatan ini akan semakin berleluasa," katanya lagi.

Mac lalu, usul berkenaan ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.