KUALA LUMPUR : Pembentangan usul undi percaya perlu dilaksanakan di Parlimen sebaik sahaja Perdana Menteri baharu dilantik bagi mengelakkan timbulnya isu keraguan. 

Koordinator Penyelidikan Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, ada pihak berpendapat khususnya dalam kalangan penganalisis politik bahawa surat akuan bersumpah (SD) lebih ke arah mencetuskan spekulasi. 

"Situasi berkenaan sering kali mencetuskan persoalan yang berterusan sekaligus memberi kesan terhadap kestabilan politik negara. 

"Maka apabila Perdana Menteri baharu dilantik, penting untuk kerajaan adakan usul undi percaya di Parlimen agar rakyat sendiri menyaksikan proses yang dibawa kerajaan baharu ini lebih terbuka dan telus," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu. 

BACA: Undi percaya kepada Perdana Menteri baharu berdasarkan tauladan - Pakar Perlembagaan

BACA: 
PM terpilih menerusi SD perlu kemuka usul undi percaya di Parlimen - Agong

BACA: 
Adakan undi percaya di Parlimen untuk tentukan calon PM baharu - PSB

Mengulas lanjut, adalah menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk turut memilih barisan Ahli Jemaah Menteri yang mempunyai integriti dan memahami soal demokrasi. 

Meskipun realiti pembentukan kerajaan baharu adalah berdasarkan gabungan politik namun aspek berkenaan perlu diberi tumpuan agar ia dapat dibuktikan kepada rakyat. 

"Apa yang diharapkan untuk tempoh dua tahun atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lantikan barisan Menteri perlu ada calon yang mempunyai integriti untuk laksanakan dasar dengan baik dan memperoleh kepercayaan rakyat. 

"Ini penting supaya rakyat sendiri dapat melihat negara benar-benar berfungsi berlandaskan institusi demokrasi dan ini yang perlu diambil kira calon Perdana Menteri baharu," katanya lagi.