Sarawak Energy sekali lagi mengingatkan kontraktor yang bekerja berhampiran kemudahan dan infrastruktur elektrik supaya mengelak daripada melakukan tindakan yang berbahaya.

Ketua Pegawai Operasi Sarawak Energy Group Lu Yew Hung berkata meskipun kerap mengadakan kempen kesedaran untuk memaklumkan kontraktor tentang keperluan supaya mengutamakan langkah keselamatan apabila bekerja berhampiran kemudahan dan infrastruktur elektrik, banyak kontraktor yang masih tidak mengendahkan nasihat itu serta mengambil mudah soal keselamatan.

Beliau berkata terdapat insiden di mana kontraktor masih merosakkan kabel meskipun selepas berhubung dan diberi taklimat keselamatan di tapak projek.

"Budaya supaya berilmu pengetahuan serta mengutamakan keselamatan masih sangat rendah dalam kalangan kontraktor pihak ketiga dan perkara ini amat membimbangkan, melihat kepada rekod jumlah kes yang menjejaskan kemudahan elektrik," kata Lu dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata berdasarkan rekod Sarawak Energy pada 2018, terdapat kira-kira 10 kes tindakan berbahaya yang merosakkan kemudahan elektrik berlaku setiap bulan dan ada antara kes terbabit mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna.

Beliau memberi amaran Sarawak Energy akan mengusahakan hukuman maksimum seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang terhadap kes ini, dan jika perlu, akan menggunakan peruntukan di bawah Ordinan Elektrik yang membenarkan Sarawak Energy membawa kes berkaitan kontraktor ke mahkamah.

Dalam pada itu, Lu berkata Sarawak Energy mengambil segala langkah perlu untuk memasang dengan kukuh dan menstabilkan menara pemancar 132kV Lapangan Terbang Tudan-Miri yang condong di Jalan Pintasan Miri, berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Pan Borneo.

Pasukan Pemancar Sarawak Energy mendapati menara itu condong ketika melakukan rondaan pemeriksaan rutin pada Jumaat lepas dan kontraktor Pan Borneo diarahkan supaya menghentikan kerja berhampiran menara itu serta-merta.

Penilaian awal menunjukkan kegagalan asas menara sedia ada disebabkan bahan stok tanah berlebihan yang diletak berhampiran menara itu.

Cerucuk yang menyokong asas menara itu dipercayai telah rosak, menjejaskan keutuhan sistem sokongan, hingga mengakibatkan menara itu menjadi condong.

-- BERNAMA