Prinsip Islam perlu diterap dan diutamakan dalam setiap elemen kajian dunia Melayu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus memastikan pembangunan tamadun Melayu meletakkan Islam sebagai perkara paling atas dalam setiap elemen yang dipraktikkan.

Jelasnya, perkara itu berbeza dengan perubahan budaya barat yang mengutamakan individualisme dalam membangunkan sesebuah peradaban.

"Saya melihat hal ini berbeza dengan Islam yang menekankan, memberikan Islam kesempurnaan kehidupan dalam usaha membentuk dan membangunkan peradaban," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (Istac) di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden IIUM, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Rektor IIUM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas menjadi salah satu mercu tanda Istac.

Ia menempatkan kira-kira 150,000 bahan ilmiah yang kebanyakannya dibangunkan ahli falsafah dan sarjana terkemuka sejak awal penubuhannya.

Sehingga kini, sebanyak 58,887 koleksi umum, 6,148 koleksi rujukan, 20,084 jurnal dan 17,922 bahan mikrobentuk terdapat di perpustakaan berkenaan.

Perpustakaan itu turut menyimpan beberapa artifak berupa kelengkapan perang seperti baju perisai, pedang, pisau, senapang yang rata-rata daripada abad ke 18 dan 19.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, nilai hidup dan prinsip asas dunia Melayu seharusnya menjadi bahan utama dalam kajian terhadap isu ketamadunan Islam dan dunia Melayu itu sendiri.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta kepada Istac untuk institut itu mengembangkan kajiannya.

"Ia juga bagi membolehkan Istac mengambil lebih ramai pelajar dan sarjana ulung sekali gus mengembangkan peranan institusi ini sebagai pusat maklumat dan rujukan dunia Melayu di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Rais yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia di dalam sidang medianya memberitahu, kajian terhadap hubungan dunia Melayu dan tamadun Islam akan dapat memperkayakan kefahaman mengenai pembangunan dinamik Islam dan masyarakatnya di seluruh dunia.