Skip to main content

Dunia

Ukraine: Mahkamah arah bekas pembantu Zelensky ditahan

andriy yermak -- Reuters
Hakim memutuskan bahawa Yermak (kanan) akan ditahan selama tempoh awal 60 hari, dengan kemungkinan dibebaskan melalui ikat jamin. - Reuters

KYIV: Sebuah mahkamah Ukraine memerintahkan bekas Ketua Pejabat Presiden negara itu Andrii Yermak, ditahan reman sementara menunggu perbicaraan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Hakim memutuskan pada Khamis bahawa Yermak akan ditahan selama tempoh awal 60 hari, dengan kemungkinan dibebaskan melalui ikat jamin.

Yermak berdepan pertuduhan pengubahan wang haram. Dia bersama lima lagi suspek dituduh menjadi sebahagian daripada kumpulan terancang yang didakwa mengubah wang hampir €9 juta (AS$10.6 juta) berkaitan projek pembinaan mewah berhampiran Kyiv.

Yermak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu malah mendakwa dirinya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan, iaitu bersamaan €2.72 juta (AS$3.19 juta).

Beliau  meletak jawatan pada penghujung November tahun lepas susulan skandal rasuah selepas kediamannya diserbu pihak berkuasa.

Yermak adalah sekutu lama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan mengetuai pejabat presiden sejak 2020.

Dia dianggap sebagai individu kedua paling berkuasa di Ukraine.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video