BANGKOK: Tiga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya merangkul pingat emas pada acara International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2023), di Thailand baru-baru ini.

Kejayaan melalui ciptaan ‘TVET automotive case-based workplace simulation (AutoCBOS) itu turut merangkul dua anugerah khas daripada World Invention Intellectual Property Associations (Taiwan) dan Korea Invention Promotion Associations (Korea Selatan).

AutoCBOS, produk yang dihasilkan melalui geran Kecemerlangan Konsortium Penyelidikan (KKP), itu merupakan hasil ciptaan Prof Madya Dr Nurulwahida Azid @ Aziz, Dr Abdul Hamid Busthami Nur dan Prof Madya Dr Ruzlan Md Ali.


Ketua Penyelidik yang juga pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Nurulwahida berkata, mereka mencipta produk inovasi pengajaran bagi bidang Technical Vocational Education Training (TVET) melalui aplikasi interaktif ‘TVET automotive case-based workplace simulation’ (AutoCBOS).

Jelasnya, AutoCBOS berperanan membantu proses pembelajaran amali dan praktikal pelajar kolej vokasional bidang Teknologi Automatif bagi meningkatkan ‘soft skills’ selari dengan kehendak industri automotif.

“Sebenarnya COVID-19 banyak mengajar kita bahawa pendidikan yang melibatkan praktikal juga memerlukan alat pembelajaran yang berimpak bagi kelangsungan pembelajaran TVET di kolej vokasional.

“Kami menzahirkan kesyukuran dan perasaan amat teruja di atas kemenangan ini, selain dapat membantu pelajar kolej vokasional dan bidang TVET menguasai kemahiran dan pengetahuan melalui ‘automotive industrial case-based simulation’,” katanya yang juga ahli Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, ‘Industrial case-based simulation’ ini merupakan sebahagian hasil penyelidikan ‘Digital Curriculum TVET Future Learning Consortium’.

AutoCBOS dibina berdasarkan ‘backward design model’ bagi membangunkan digital kurikulum berasaskan tiga kursus automotif yang selari dengan hasil pembelajaran kursus.

Terdapat dua ‘industrial automotive cases’ secara digital bagi setiap kursus teknologi automotif.

Hasil pandangan pembina kurikulum, pelaksana kurikulum, dan industri automotif diambil kira berdasarkan data kajian yang ditemui melalui kajian ini.


Dengan kejayaan ini, beliau berhasrat menghasilkan lebih banyak ‘digital curriculum’ pada masa depan bagi merangsang pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan ‘young skills workers’ dalam bidang TVET yang bermatlamat melahirkan graduan yang mampu meningkatkan prestasi lebih cemerlang dalam bidang teknologi automotif.

Acara yang dianjurkan oleh National Research Council of Thailand (NRCT) Ministry of Higher Education, Science, Research and Innovation itu dihadiri wakil dari 24 negara yang mempamerkan sebanyak 469 produk inovasi dalam pelbagai bidang.