ALOR SETAR: Jabatan Keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang menyiasat punca kematian sembilan ekor kucing di sekitar kawasan kampus pada Rabu.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, punca kematian kucing-kucing berkenaan belum diketahui sama ada disebabkan sengaja diracun, teracun atau akibat penyakit.

Katanya, UUM juga akan menyiasat individu yang bertanggungjawab dalam kes terbabit untuk tindakan lanjut.

"Pihak Jabatan Keselamatan sedang menyiasat juga siapakah yang bertanggungjawab sama ada staf, mahasiswa, pengusaha kafeteria atau orang luar, jika benar diracun secara sengaja," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Foad berkata, UUM akan membina istana kucing berhampiran Inapan Siswa (Inasis) Petronas untuk mengelak kucing berkeliaran dalam kampus.

"Pembinaan istana kucing itu dibuat atas tanda prihatin UUM terhadap kucing-kucing terbiar di dalam kampus dan sebahagian kucing itu tidak mendapat makanan terutama ketika musim cuti pelajar," katanya.

Ujarnya, kucing dalam kampus perlu diurus secara sistematik dan terancang demi menjaga kebajikan kucing berkenaan.

"Saya yakin pembinaan istana kucing ini akan menjadi salah satu daya tarikan kepada UUM seperti Taman Rusa, Taman Burung Unta dan Taman Arnab dalam kampus.

"Dalam masa sama, kita dapat menjaga kebajikan kucing berkenaan yang bilangannya agak besar dalam kampus,” katanya.

Pada Rabu, sembilan ekor kucing iaitu lima ekor di Inasis MISC dan empat ekor di Inasis BSN didapati mati serentak.

Pada hujung April lalu, lima ekor kucing didapati mati serentak dan punca sebenar kematian haiwan berkenaan juga tidak diketahui. - Sinar Harian