MALAYSIA
Uzbekistan sasar lebih 15,000 pelancong Malaysia tahun ini, tawar pelancongan termasuk umrah

Gadoev berkata pertukaran pelancongan dua hala meningkat dengan ketara apabila jumlah ketibaan pelancong Malaysia ke Uzbekistan meningkat dua kali ganda pada tahun lalu. - Gambar uzbekembassy.com.my
GEORGE TOWN: Uzbekistan menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong Malaysia tahun ini, didorong oleh jaringan penerbangan serta pengenalan pakej Umrah-plus yang menggabungkan ibadah umrah dengan lawatan budaya.
Duta Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev berkata pertukaran pelancongan dua hala meningkat dengan ketara apabila jumlah ketibaan pelancong Malaysia ke Uzbekistan meningkat dua kali ganda pada tahun lalu.
"Pada 2023, kira-kira 4,500 rakyat Malaysia melawat Uzbekistan dan tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 9,500 orang.
"Tahun ini, kami merancang untuk menerima lebih 15,000 pelancong dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Forum Kerjasama Uzbekistan-Malaysia 2025 dan sesi B2B di sini pada Jumaat.Beliau berkata sambungan udara menjadi pemacu utama, dengan Uzbekistan Airways dan Batik Air kini mengendalikan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Tashkent.
Mulai 15 Okt ini, AirAsia X akan melancarkan tiga lagi penerbangan mingguan, menjadikan perkhidmatan hampir setiap hari.
"Ini akan memudahkan rakyat Malaysia meneroka bukan sahaja Tashkent, tetapi juga Samarkand dan Bukhara, kerana kami turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia untuk meluaskan laluan," katanya.
Jumlah pelancong Uzbekistan ke Malaysia juga semakin meningkat dengan hampir 20,000 ketibaan pada tahun lalu dan angka itu dijangka terus bertambah.
Berhubung pelancongan umrah, beliau berkata negaranya bekerjasama rapat dengan rakan kongsi pelancongan Malaysia untuk memperkenalkan pakej "Umrah-plus", yang membolehkan jemaah menziarahi tapak bersejarah Islam di Uzbekistan sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi.
"AirAsia X bersedia membantu kami mengatur pakej ini kerana sebelum ini agak sukar untuk menguruskan perjalanan sedemikian.
"Rakyat Malaysia boleh berlepas dari Kuala Lumpur ke Tashkent untuk menghabiskan tiga hingga empat hari melawat warisan agama dan budaya kami, kemudian meneruskan perjalanan ke Jeddah atau Madinah," katanya.
Beliau menjelaskan di bawah pengaturan baharu itu, jemaah tidak perlu kembali ke Uzbekistan selepas menunaikan umrah kerana AirAsia X membolehkan mereka terus kembali ke Kuala Lumpur dari Arab Saudi, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan menjadikannya lebih efisien.
Gadoev berkata Uzbekistan memiliki lebih 3,000 tapak warisan Islam termasuk Hast-Imam di Tashkent, Kompleks Imam al-Bukhari di Samarkand, Makam Bahauddin Naqshband dan Makam Chashma Ayub di Bukhara, serta Makam Al-Hakim at-Termezi di Termez, menjadikannya destinasi menarik bagi pelancong Muslim.
Selain pelancongan, Uzbekistan turut mengalu-alukan pelabur Malaysia meneroka peluang dalam pelbagai sektor, sejajar dengan pembaharuan yang sedang dilaksanakan di bawah pimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev.
Kerajaan Uzbekistan menawarkan insentif menarik kepada pelabur yang mahu menubuhkan atau mengembangkan operasi di negara itu.
Uzbekistan kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM369.8 juta (kira-kira US$80.9 juta) pada 2024.
Sementara itu, dari Januari hingga April 2025, perdagangan antara kedua-dua negara mencapai RM106 juta (US$25 juta).
Ketika ini, terdapat 41 perusahaan dengan pelaburan Malaysia dan 19 syarikat dengan 100 peratus pelaburan Malaysia beroperasi di Uzbekistan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami