Selepas beberapa hari spekulasi bertiup kencang, kini sah bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM dalam satu kenyataan berkata badan induk badminton negara itu membuat keputusan untuk menerima peletakan jawatan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang berkuat kuasa 5 Jan ini.

"Setelah mempertimbangkan dengan teliti dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan, BAM telah mencapai keputusan untuk menerima peletakan jawatan ini.

"BAM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pemenang pingat perak Olimpik Rio ini kerana berkongsi nilai, prinsip dan falsafah persatuan sepanjang tempoh 17 tahun berkhidmat dengan pasukan kebangsaan.

"BAM mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan memulakan fasa seterusnya dalam kerjaya mereka," kata BAM.

Berita itu tidak begitu mengejutkan kerana pemenang pingat emas Glasgow 2014 itu bergelut dengan prestasi yang tidak konsisten dan sebelum ini menyatakan hasrat untuk bergerak secara profesional.

Pasangan beregu berusia 29 tahun itu, berada di puncak kerjayanya pada 2016 apabila memenangi pingat perak Olimpik, menamatkan kemarau pingat 20 tahun dalam acara beregu lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat perak beregu lelaki adalah pada 1996 di Olimpik Atlanta menerusi pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.

Datuk Lee Chong Wei kini satu-satunya pemenang pingat di Rio yang masih kekal di bawah BAM selepas satu lagi pemenang pingat perak Rio (beregu campuran), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengejutkan peminat badminton dengan meninggalkan BAM dua minggu lepas.

Sebelum ini, beberapa pemain membuat keputusan untuk keluar daripada badan induk itu berikutan pelbagai sebab antaranya Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki); Tee Jing Yi (perseorangan wanita) serta Chooi Kah Ming dan Lim Khim Wah (beregu lelaki).

-- BERNAMA