KOTA KINABALU: Sebanyak 14.03 peratus daripada 3,908,484 juta warganegara Malaysia di Sabah sudah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata sehingga Ahad terdapat seramai 548,343 orang telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

"Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini adalah seramai 7,327 orang menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar sebanyak 548,343.

"Seramai 484,794 orang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera manakala seramai 63,331 orang mendaftar di laman web dan 218 orang mendaftar dengan menghubungi talian vaksinasi.

"Jika dilihat pada angka tersebut ia masih rendah dan baru mencapai 14.03 peratus dari jumlah sebenar rakyat Malaysia di Sabah iaitu seramai 3,908,484 juta orang," katanya dalam kenyataan media laporan harian kes jangkitan COVID-19 di Sabah pada Ahad.

Sehingga hari ini, seramai 72,797 orang telah menerima vaksin melibatkan penerima bagi fasa satu dan fasa dua.

"Bagi Fasa 2 dos pertama PICK, 4,389 suntikan baharu dibuat hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 72,797 penerima vaksin setakat ini.

"Jumlah kumulatif tersebut termasuk pemberian dos kedua bagi Fasa 2 dengan jumlah kumulatif seramai 26,505 orang.

"Sasaran vaksinasi bagi fasa dua kita anggarkan seramai 268,000 orang penerima," katanya lagi.