KUALA LUMPUR: Seramai 724,517 individu di dalam kumpulan fasa pertama dan kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Selasa.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagi tempoh sama seramai 1.17 juta individu telah menerima dos pertama.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini 1.89 juta.

Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama, diikuti Sarawak, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Seterusnya Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan, disusuli Kelantan, Terengganu, Melaka, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk PICK adalah seramai 10 juta atau 41.50 peratus.

Fasa pertama PICK telah tamat melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula 19 April lalu hingga Ogos melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.