KUALA LUMPUR: Seramai 24.16 juta individu atau 74 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, 77.9 peratus atau 25.43 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi dewasa, seramai 22.21 juta individu atau 94.9 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Manakala, 97.6 peratus atau  22.83 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 115 peratus diikuti Labuan (101.4 peratus), Negeri Sembilan (101 peratus), Pulau Pinang (98.5 peratus), Perlis (97.1 peratus), Johor (96.2 peratus), Melaka (91.8 peratus), Terengganu (91 peratus) dan Sarawak (90.9 peratus).

Ini diikuti Kedah (86.1 peratus), Perak (85.7 peratus) dan Pahang (84.5 peratus).

Paling rendah adalah Sabah (72.7 peratus), diikuti Kelantan (78.2 peratus).

Selain itu, seramai 1.95 juta atau 62 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 147,242 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 49.58 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.