PUTRAJAYA:Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan bekerjasama secara bersepadu dengan pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur.

Menteri Teknologi, Sains, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata pasukan CITF yang diketuai oleh beliau sendiri itu akan membuat pelaporan kepada Jemaah Menteri.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman turut dilantik untuk menyelia pasukan tersebut.

“Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula akan bertindak sebagai urus setia CITF.

“CITF telah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 16 Februari yang lalu bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Dalam mesyuarat tersebut, MKN telah membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisma penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini,” katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya ketika mengumumkan penubuhan pasukan khas itu. 

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata  menerusi CITF, perkhidmatan kesihatan yang merangkumi pelbagai bidang tugas akan akan diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan.

Selain itu, Khairy berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan terlibat sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berlangsung. 

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.

BACA: Kerajaan dalam rundingan untuk dapatkan vaksin J&J - Khairy

[SIDANG MEDIA] Pasukan petugas khas imunisasi