KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, Malaysia dijangka menerima bekalan fasa pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin berkenaan akan diagihkan sebaik tiba di pintu masuk negara kepada semua negeri secara berperingkat sebelum disuntik kepada penerima.

“Kita akan lihat pengagihan dari segi vaksin tersebut, jadi sampai ke pintu masuk antarabangsa lepas tu kita akan agihkan mungkin dalam tempoh seminggu dua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya telah menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam kajian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19.

BACA: 115 sukarelawan sudah terima suntikan vaksin ujian klinikal fasa tiga - Dr Adham

Sambutan menggalakkan itu menyebabkan KKM terpaksa membuat pemilihan dan tapisan peserta berdasarkan kelayakan tertentu.

Pada 24 November lepas, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini yang akan diberi secara percuma.