KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan kerajaan pusat untuk melancarkan dos ketiga dan suntikan penggalak COVID-19 kepada yang layak, terutama bagi mereka yang mempunyai daya ketahanan berkompromi, warga emas berkomobiditi, petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan berisiko tinggi.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun harus menetapkan kriteria dan strategi implementasi yang jelas untuk memastikan kelancaran terutamanya apabila dijangkakan 8.75 juta rakyat yang akan menerima dos ketiga atau dos penggalak ini.

Ini kerana terdapat kes-kes baharu akibat daripada pengurangan netralisasi antibodi berperingkat, individu-individu ‘immunosuppressed’ yang tidak memberi respons imun terhadap dua dos vaksin, dan juga para petugas dalam situasi yang mendedahkan mereka kepada virus yang berlebihan yang membebankan kadar imuniti mereka.

“Oleh itu program pelancaran haruslah dirancang dengan teratur, spesifik dan dikoordinasi dengan baik dalam kalangan semua yang terlibat termasuk Pengamal Am swasta yang ditugas untuk mengendalikan suntikan penggalak bagi semua petugas barisan hadapan dan warga emas.

“Namun begitu, kita harus berhati-hati dengan kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan bahawa belum terdapat penglibatan yang betul daripada Jabatan Kesihatan Negeri yang masih sepi dalam program dos ketiga dan suntikan penggalak ini.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari daripada kesilapan lepas termasuk penglibatan Pengamal Am swasta pada minit-minit terakhir,” kata kenyataan media itu.

Jawatankuasa Kesihatan PH menyeru Kementerian Kesihatan supaya memperjelaskan strategi mereka  termasuk:
  1. Jangka Masa yang jelas implementasi ke seluruh negara.
  2. Definisi dan kategori yang jelas kelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak.
  3. Strategi usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam program pelancaran ini.
  4. Melibatkan Pengamal Am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran yang jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak ini adalah pantas dan efisien.
  5. Meluluskan vaksin heterologi dengan dos penggalak secepat mungkin, berdasarkan kepada data global yang nyata.

Jawatankuasa Kesihatan PH juga berpendirian bahawa Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) harus meluluskan segera suntikan vaksin heterologi dengan dos penggalak.

Dari 28 September hingga 11 Oktober, terdapat lebih kurang 55.6 peratus atau 76,186 daripada 137,109 kes COVID-19 yang baharu dilaporkan di Malaysia adalah dalam kalangan yang lengkap vaksin.

Kadar kes COVID-19 yang lengkap vaksin bertambah daripada 51 peratus pada 28 September kepada 60 peratus pada 11 Oktober.

Pada jangka masa yang sama, 77 peratus daripada 23,864 kes COVID-19 di Sarawak adalah dalam kalangan yang lengkap vaksin.

Lebih daripada 50 peratus kes baharu ini dilaporkan di Labuan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perlis dan Pulau Pinang.

Kebanyakan daripada infeksi-infeksi baru ini adalah dalam kalangan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dengan kadar imunisasi yang berkurangan, ‘immunosuppression’, dan gejala kesihatan yang sedia ada.