KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menerima suntikan dos penggalak COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Axiata Arena, ibu negara pada Sabtu.

Muhyiddin yang menjadi penerima pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer di negara ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari itu secara sukarela tampil untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

"Saya ada hubungi dan diberitahu untuk datang hari ini dan datang hari ini, saya memang dah tunggu.

"Mengikut laporan yang saya baca bagus kalau sudah dapat dua dos, lepas beberapa bulan di peringkat usia mungkin ada menurun ketahanan badan. Jadi bila ada suntikan ketiga ini ia bina semula ketahanan badan," katanya ketika disuntik dos penggalak di PPV Axiata Arena, pada Sabtu.

Muhyiddin, 74 tahun, yang juga mantan Perdana Menteri itu turut menjelaskan proses di PPV berjalan lancar dan beliau tidak mengalami sebarang kesan segera.

Menurutnya, beliau secara sukarela membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera beberapa hari lepas untuk mendapatkan suntikan penggalak.

Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kebanyakan negeri kini berada di Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.


[TERKINI] Tan Sri Muhyiddin Yassin terima suntikan penggalak I 23 Okt 2021

Dos penggalak vaksin COVID-19 mula diberikan kepada kelompok penerima pertama secara percuma dan sukarela.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, pemberian suntikan pelalian mulai 13 Oktober itu akan membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.