KUALA LUMPUR: Pengamal perubatan am swasta (GP) yang berminat untuk terlibat dengan fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu berdaftar dengan ProtectHealth.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melantik syarikat yang telah diperbadankan itu sebagai pelaksana penglibatan GP dalam inisiatif tersebut.

"Seperti diumumkan Datuk Seri Dr Adham Baba, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah bersetuju melibatkan GP bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.

"Penglibatan GP ini adalah bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 dan Fasa 3," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mana-mana GP yang berminat untuk terlibat sama dalam inisiatif itu sudah boleh membuat pendaftaran bermula hari ini di laman web www.protecthealth.com.my.

ProtectHealth diperbadankan pada 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan.