KUALA LUMPUR : Malaysia terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat dos suntikan vaksin melebihi 400,000 dos untuk hari kelima berturut-turut.

Meskipun jumlah dos pada 16 Julai sedikit menurun namun ia masih lagi melepasi angka 400,000 dengan 406,763 dos diberikan.

Daripada jumlah tersebut, 276,905 individu menerima dos pertama, manakala 129,858 lagi lengkap dos kedua.

Maklumat itu dikongsikan menerusia ciapan di Twitter Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Sabtu.


Di laman Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pula, perincian lanjut menunjukkan pemberian vaksin di Selangor adalah yang tertinggi.

Menerusi maklumat tersebut, sebanyak 113,418 dos vaksin diberikan pada 16 Julai dengan 85,865 adalah dos pertama dan 27,553 pula dos kedua.


Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merupakan yang kedua tertinggi dengan 68,889 dos diberikan (52,512 dos pertama, 16,377 dos kedua).

Ia diikuti Sarawak dengan 68,429 dos diikuti Pulau Pinang (23,712 dos), Negeri Sembilan (22,803 dos), Sabah (20,893 dos), Perak (20,568 dos) dan Johor (17,884 dos)

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan sejumlah 460,158 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan pada Khamis, tertinggi pernah diberikan dalam sehari sepanjang Program Imunisasi Kebangsaan (PICK).

BACA: Vaksin COVID-19: Suntikan harian cecah 460,158, tertinggi pernah direkodkan

Menerusi hantaran di laman Twitter Dr Adham, daripada jumlah itu, sebanyak 304,807 dos pertama manakala 155,351 dos lagi adalah untuk pemberian dos kedua.