TUMPAT: Sekitar 10.8 peratus suntikan dos pertama direkodkan dalam kalangan kanak kanak berusia 5 hingga 11 tahun manakala sekitar 2.5 peratus bagi pengambilan suntikan kedua yang dilaporkan di seluruh Kelantan setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menjelaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa sejak ianya dilancarkan.

"Kelantan antara negeri terendah suntikan dalam kalangan kanak-kanak berusia dari 5 hingga 11 tahun, kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa.

"Kita negeri paling rendah untuk vaksinasi kanak kanak 5 hingga 11 tahun di mana peratusan terkini sekitar 10.8 peratus untuk dos pertama manakala 2.5 peratus untuk dos kedua. Jadi angka ini agak rendah berbanding dengan populasi kanak-kanak yang ada di Kelantan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadhan di Tumpat petang semalam.

Jelasnya, walaupun tidak banyak kes kemasukkan ke hospital membabitkan kanak kanak dicatatkan, namun berlaku trend peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan itu.

"Ini membimbangkan kita kerana kadar vaksinasi PICKids rendah, kita tengok ada trend peningkatan jangkitan kes dalam kalangan kanak-kanak," tambahnya.

Zaini turut memaklumkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan warga emas dan masyarakat Kelantan juga rendah.

Pihaknya bersama agensi berkaitan dan juga kerajaan negeri turut melaksanakan program kesedaran kepada golongan ibu bapa dan warga emas bagi meningkatkan tahap kesedaran.

Walaupun program 'walk-in' pengambilan dos penggalak yang diadakan di klinik terpilih dan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) dilaksanakan, jumlah kehadiran masih lagi rendah setakat ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kesihatan Kelantan turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes COVID-19 pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan susulan jangkaan kepulangan perantauan yang tinggi ke negeri ini.

"Seperti jangkaan pihak berkuasa bakal berlaku pertambahan kenderaan dan pertambahan rakyat Kelantan yang bakal pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

"Kebimbangan itu ada kerana pertambahan rakyat Kelantan yang pulang pada penghujung Ramadan nanti.

"Jangkaan kita dua tahun tak balik kali ini berpusu-pusu perantauan akan pulang, kita harapkan mereka kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, walaupun kes rendah dengan dua angka di Kelantan beberapa minggu ini, namun kita bimbang dengan pertambahan dan pergerakan rakyat.

"Kita dah lakukan persiapan dan hospital serta klinik juga diletakkan dalam keadaan 'standby' bimbang berlaku pertambahan kemasukan ke wad," jelasnya

Zaini pada masa sama mengharapkan supaya rakyat Kelantan kekal mematuhi SOP dengan sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan.