BINTULU: Simulasi program vaksinasi di Tatau, Bintulu yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu berjalan lancar.

Ia dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pemberian vaksin COVID-19 di daerah tersebut.

Malah, latihan simulasi itu turut membabitkan golongan warga emas yang merupakan kumpulan fasa kedua yang akan menerima vaksin.

Menurut Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat, dia berpuas hati dengan hasil simulasi itu kerana masa yang diambil sepanjang mengendalikan proses itu berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Ini merupakan proses yang sebenarnya dan ia bermula dengan proses pendaftaran dan sebagainya hingga tamat.

“Berdasarkan latihan simulasi, kita berjaya melaksanakannya mengikut waktu yang ditetapkan,” katanya.

Jack berkata demikian selepas memantau latihan simulasi program vaksinasi COVID-19 di Dewan Sukan Tatau pada Khamis.

Bagi Ketua Kampung Dagang, Satim Gapar, yang menyertai latihan simulasi itu berkata, program seumpama ini mampu memberi pemahaman yang lebih baik kepada penduduk di kawasan terlibat menjelang hari suntikan vaksin COVID-19.

“Program simulasi ini dijalankan untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai prosedur sebenar semasa suntikan COVID-19 diberikan.

“Selain itu, dengan adanya program suntikan vaksin ini, ia sedikit sebanyak memberikan kelegaan dan seterusnya membolehkan kita menghindari wabak itu,” katanya.

Manakala bagi Yap Ai Siok yang merupakan penduduk Tatau berpendapat, penyertaan orang awam dalam program seperti ini amat penting bagi memahami kepentingan vaksin COVID-19.

“Informasi sebegini penting dalam mendidik masyarakat untuk memahami kepentingan vaksin dalam membantu menghentikan penularan wabak ini.

“Program ini juga akan membantu memudahkan urusan semasa berlangsungnya hari sebenar suntikan vaksin tersebut kerana orang awam sudah faham setiap perkara yang perlu dilakukan,” tambahnya.