KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), akan menyediakan dua buah helikopter bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM), melaksanakan program suntikan vaksin COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan permohonan bagi menggunakan khidmat helikopter dari Pangkalan Udara JBPM, di Subang, Selangor dan dijangka digunakan akhir bulan ini.

"Sekarang ini hanya tunggu KKM, namun helikopter itu sudah bersiap sedia digerakkan, JBPM Kelantan difahamkan terdapat 16 Pos Orang Asli di kawasan pedalaman yang sukar dilalui dengan kenderaan biasa.

"Maka, kita sediakan sekurang-kurangnya dua helikopter ini untuk kegunaan vaksinasi dan keperluan mengangkut barang keperluan makanan dan orang sakit...manakala, bekalan vaksin pula diuruskan oleh pihak KKM," katanya selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Sementara itu, Zainal berkata dalam tempoh Mac tahun lalu sehingga kini, pihaknya menguruskan 668 jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19 dengan secara puratanya menguruskan 10 jenazah sehari untuk dikebumikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata anggota dan pegawai JBPM bersiap sedia menghadapi banjir dalam suasana pandemik COVID-19, selain akan membuat latihan secara maya dengan agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi mempertingkatkan operasi menyelamat mangsa banjir dan sebagainya.

"Kita mempunyai pengalaman tahun lalu menguruskan banjir dalam situasi penularan COVID-19, jika logistik dan anggota tidak mencukupi kita akan meminta bantuan dari negeri jiran seperti Terengganu," katanya.

-- BERNAMA