Kerajaan kaji pinda undang-undang dakwa pengirim, penerima barangan lori lebih muatan

Loke berkata langkah itu penting bagi memastikan keseluruhan ekosistem industri logistik bertanggungjawab dan mematuhi had muatan yang ditetapkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka pindaan undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil bukan sahaja terhadap pemandu dan syarikat pengangkutan tetapi juga pengirim serta penerima barangan yang terlibat dalam aktiviti lori membawa muatan berlebihan.
Ringkasan AI
- Kerajaan merangka pindaan undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil bukan sahaja terhadap pemandu dan syarikat pengangkutan, tetapi juga pengirim dan penerima barangan yang terlibat dalam aktiviti lori membawa muatan berlebihan.
- Isu muatan berlebihan menyumbang kepada kemalangan dan kerosakan jalan raya, meningkatkan kos penyelenggaraan serta risiko keselamatan pengguna, terutama penunggang motosikal.
- JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terlibat termasuk industri kuari dan besi, selain kerajaan menggalakkan dasar -road to rail- untuk memindahkan pengangkutan kargo berat dari jalan raya ke kereta api.
Beliau berkata isu muatan berlebihan bukan sahaja menyumbang kepada kemalangan malah memberi impak besar kepada kerajaan dan rakyat kerana ia mempercepat kerosakan jalan raya serta meningkatkan kos penyelenggaraan.
"Orang ramai selalu mengadu kenapa jalan di Malaysia berlubang-lubang... antara punca besar ialah masalah lori lebih muatan... apabila jalan rosak teruk, bukan sahaja kos penyelenggaraan meningkat malah risiko kepada pengguna terutama penunggang motosikal juga tinggi," katanya.
Loke berkata pemandu lori dan syarikat pengangkutan sering terpaksa akur dengan tekanan daripada pemilik kuari atau kilang untuk membawa muatan berlebihan bagi mengurangkan kos operasi dan bersaing antara satu sama lain.
Justeru, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan.
"Pendekatan kita bukan hanya terhadap syarikat pengangkutan dan pemandu lori tetapi juga punca masalah itu... JPJ akan memanggil industri kuari, industri besi dan beberapa sektor lain yang dikenal pasti banyak terlibat (dalam aktiviti ini) untuk diberi peringatan," katanya.
Selain itu, Loke berkata kerajaan menggalakkan dasar road to rail iaitu memindahkan pengangkutan kargo berat dan berisiko dari jalan raya ke kereta api bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kerosakan infrastruktur.
"Kita nak menggalakkan kargo berat diangkut melalui kereta api bukan di jalan raya... ini selari dengan dasar road to rail yang kita sedang laksanakan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami