KUALA LUMPUR:Ketersediaan vaksin COVID-19 bermula Februari ini tidak menjamin Pilihan Raya Umum (PRU) boleh berlangsung dalam keadaan selamat sekiranya diadakan pada waktu terdekat.

Ini kerana menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, program vaksinasi dijangka mengambil masa yang lama dan kemungkinan setahun untuk mencapai sasaran 80 peratus rakyat Malaysia.

“Walaupun ada vaksin itu adalah satu harapan, tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada vaksin disebabkan peringkat awal ia hanya diberikan kepada ratusan ribu orang sahaja.

“Walaupun akan meningkat ia akan mengambil masa sehingga enam bulan atau setahun jadi tempoh program vaksinasi lama.

“Keduanya, vaksin juga tidak dapat menghentikan jangkitan dalam masyarakat dalam masa yang cepat, jadi apa pun pencegahan yang utama ialah prosedur operasi standard (SOP) yang ada seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, elakkan perhimpunan awam dan ini akan terjejas jika berlaku PRU dalam masa terdekat,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa pemimpin politik yang menyarankan PRU15 diadakan secepat mungkin memandangkan vaksin COVID-19 akan diperolehi Malaysia tidak lama lagi.

Ketegasan yang sama turut dilontarkan Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkenaan pelaksanaan PRU ketika era pandemik.

“Saya lihat kefahaman daripada mereka yang bukan di dalam bidang kesihatan dan terlibat dengan politik kadang-kadang mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat kepada masyarakat.

“Saya bagi contoh sekarang apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan rentas negeri, ada yang membuat kenyataan inilah masa sesuai untuk kita mengadakan PRU, padahal keadaan itu tidak boleh berlaku apabila melihat kepada pola data dan keadaan kita sekarang yang terdedah kepada kluster dan kes baharu COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, Zainal Ariffin mencadangkan supaya kerajaan dan parti-parti politik membuat ‘road map’  (hala tuju) supaya PRU hanya boleh diadakan setahun dan ke atas selepas ini.

“Kita cadangkan supaya kerajaan atau parti-parti politik yang terlalu ingin sangat adakan PRU supaya mempunyai garis masa, jangan adakan (PRU) ketika pandemik kerana ini akan menyukarkan barisan hadapan, PRN Sabah jelas menunjukkan perkara ini berlaku.

“Saya rasakan rakyat pun tidak mahu PRU dalam masa terdekat,” jelasnya.

BACA: Pakar kesihatan rayu campur tangan Agong henti PRU15, barisan hadapan tertekan