KUALA LUMPUR: Bukti daripada ujian klinikal dan pengalaman dunia menunjukkan vaksinasi COVID-19 berkesan dan selamat bagi kanak-kanak dan remaja, menurut Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia (AMMCOP).

Kolej itu memaklumkan setakat Nov 2021, lebih 100 negara telah memulakan atau merancang untuk mengembangkan vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak bermula dengan remaja berusia 12 hingga 17 tahun termasuk di Malaysia.

Menurut kolej itu, pihaknya dengan usaha sama pelbagai pakar daripada subkepakaran pediatrik yang berbeza dan kesihatan awam, menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan untuk melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk kanak-kanak (PICKids).

Menurutnya, pandemik COVID-19 yang masih berkembang dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron menyerlahkan keperluan untuk memaksimumkan faedah perlindungan vaksinasi kepada semua peringkat umur, terutama kanak-kanak.

"Berdasarkan profil keselamatan yang diterbitkan dan bukti semakin meningkat tentang manfaat daripada vaksinasi COVID-19, kolej ini dengan sesungguhnya mengesyorkan vaksinasi kanak-kanak, terutamanya kumpulan bersekolah iaitu lima tahun ke atas." menurut kolej itu dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan supaya memastikan program vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di Malaysia dilaksanakan dengan penuh teliti mengambil kira ia penting terutamanya semasa negara menghadapi peningkatan kadar kematian berkaitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

"Ini kerana dari Julai hingga Disember 2021, sebanyak 105 kematian dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga 17 tahun," menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh tujuh pakar pediatrik dan seorang pakar epidemiologi.

Antara yang terlibat adalah Profesor dan Pakar Perunding Kanan Pediatrik Neonatologi, Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Cheah Fook Choe; Pakar Perunding Pediatrik dan Genetikal Klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Thong Meow Keong dan Pakar Epidemiologi dari Universiti Malaya Prof Dr Noran Naqiah Hairi.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan, sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat 11 Feb melalui PICKids yang dilancarkan 3 Feb lepas.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,794,416 individu atau 88.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,872,087 individu atau 91.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

-- BERNAMA