KUALA TERENGGANU: Program vaksinasi remaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan pelajar di Terengganu.

Tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman pada Selasa mendapati, seramai 800 pelajar dari tiga buah sekolah di daerah Kuala Terengganu hadir untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Rata-rata yang hadir meluahkan rasa teruja selepas menerima vaksin berkenaan.

Bagi pelajar Tingkatan 5, pengambilan vaksin ini membolehkan mereka kembali ke sekolah dan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka untuk persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang.

Menurut Sarah Bahirah Baharudin, sudah lama dia menunggu untuk peluang mendapatkan vaksin.

"Sudah lama mahu disuntik tetapi disebabkan bawah umur tidak boleh.

"Selepas dapat vaksin ini, bolehlah saya kembali ke sekolah," katanya.

Bagi Alif Daniel Syukri pula, dia sangat teruja kembali ke sekolah kerana kesukaran dihadapinya semasa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Bagi saya susah sikit untuk memahami pelajaran menerusi PdPR ini. Kalau di sekolah, guru ada di depan kita jadi senang untuk kita belajar," katanya.

Dalam pada itu, seramai 38,114 pelajar tingkatan empat dan lima di Terengganu menerima dos pertama vaksin COVID-19 bermula Selasa.

Daripada jumlah tersebut seramai 8,000 pelajar telah dikenalpasti mempunyai masalah kesihatan dan perlu dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital terlebih dahulu sebelum menerima suntikan vaksin.

Sementara itu golongan remaja yang tidak bersekolah atau menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) boleh menerima vaksin secara walk-in atau jumpa terus di 156 PPV di seluruh negara bermula Khamis.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan pada Selasa, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.

BACA: Golongan remaja boleh terima vaksin COVID-19 secara 'walk-in' bermula Khamis

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada Isnin dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Setakat Isnin, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.