MALAYSIA
Vape dan rokok: Musuh senyap ketika pembedahan - Pakar bius

Program mQuit dan aplikasi JomQuit dari KKM serta sokongan NGO sedia membantu proses berhenti merokok demi keselamatan pembedahan dan kesihatan jangka panjang. - Gambar hiasan
MEROKOK dan penggunaan vape bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kesihatan umum, malah turut meningkatkan risiko komplikasi semasa dan selepas pembedahan.
Ringkasan AI
- Merokok dan vape meningkatkan risiko pembedahan: Merokok dan vaping boleh menyebabkan komplikasi serius semasa dan selepas pembedahan, termasuk masalah pernafasan, jantung, kesan bius tidak stabil, serta keperluan ubat tahan sakit yang lebih tinggi.
- Menyukarkan penyembuhan dan pemulihan: Nikotin mengurangkan aliran darah dan oksigen ke tisu, melambatkan penyembuhan luka dan melemahkan sistem imun, menyebabkan pesakit mengambil masa lebih lama untuk pulih.
- Berhenti merokok sebelum pembedahan sangat penting: Pesakit digalakkan berhenti merokok atau vape awal sebelum pembedahan. Program mQuit dan aplikasi JomQuit dari KKM serta sokongan NGO sedia membantu proses berhenti merokok demi keselamatan pembedahan dan kesihatan jangka panjang.
Kesan Merokok Terhadap Pembedahan dan Anestesia
Merokok mendedahkan tubuh kepada bahan kimia berbahaya seperti nikotin dan karbon monoksida yang boleh menyebabkan komplikasi seperti berikut:
* Komplikasi pernafasan seperti bronkospasma (kesempitan rongga pernafasan) dan penghasilan lendir berlebihan yang boleh menyukarkan proses intubasi dan meningkatkan risiko jangkitan paru-paru (pneumonia).
* Masalah kardiovaskular, termasuk peningkatan risiko serangan jantung dan strok semasa pembedahan.
* Delirium pasca pembedahan, iaitu kekeliruan mental yang lebih kerap berlaku dalam kalangan perokok, terutamanya warga emas.
* Tahap kesakitan lebih tinggi dan keperluan ubat tahan sakit (opioid) yang lebih banyak.
* Keberkesanan anestesia terganggu, kerana nikotin mengubah metabolisme ubat bius, menyebabkan dos yang lebih tinggi diperlukan dan meningkatkan risiko kesan sampingan.
Akibatnya, perokok lebih berisiko dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas pembedahan untuk pemantauan dan bantuan pernafasan.
Kesan Merokok Terhadap Penyembuhan Luka dan Pemulihan
Merokok mengurangkan aliran darah dan oksigen ke tisu, menyebabkan penyembuhan luka menjadi lambat. Sistem imun juga menjadi lemah dan meningkatkan risiko jangkitan selepas pembedahan. Secara keseluruhan, perokok memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama berbanding bukan perokok.


Vaping: Bukan Alternatif Selamat
Ramai menganggap vaping sebagai alternatif yang lebih selamat, namun hakikatnya, ia membawa risiko yang hampir sama. Nikotin dalam vape boleh menjejaskan penyembuhan luka, menyebabkan ketidakstabilan tekanan darah semasa bius, dan meningkatkan risiko komplikasi pernafasan. Pesakit yang menghisap vape juga menunjukkan keperluan ubat tahan sakit yang lebih tinggi dan pemulihan yang lebih perlahan. Ini membuktikan bahawa vaping bukanlah pilihan yang selamat dalam konteks pembedahan.
Sokongan untuk Berhenti Merokok di Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan program mQuit, yang menawarkan kaunseling, terapi penggantian nikotin (seperti tampalan dan gula-gula getah), serta sokongan susulan di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan. Aplikasi JomQuit turut membantu memberi panduan digital. NGO seperti Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Persatuan Paru-Paru Hijau Malaysia juga aktif dalam menyokong usaha berhenti merokok.
Pesakit juga mesti jujur dan telus kepada pakar bius dan pakar bedah tentang tabiat merokok atau vape semasa penilaian pra-pembedahan Maklumat ini sangat penting untuk memastikan pembedahan yang selamat dan bebas komplikasi.
Sebagai pakar bius, saya menyeru semua pesakit yang bakal menjalani pembedahan untuk berhenti merokok atau vaping seawal mungkin. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko komplikasi, malah mempercepatkan pemulihan dan meningkatkan kualiti hidup.
DAPATKAN SOKONGAN PROFESIONAL !! KESIHATAN ANDA ADALAH KEUTAMAAN KAMI !!
* Penulis ialah Pakar Perunding Anestesiologi di UITM Private Specialist Center (UPSC).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami