Vape, rokok elektronik mungkin diharamkan - Timbalan Menteri Kesihatan

Aida Aziz
Oktober 31, 2019 12:16 MYT
Pasaran dan penggunaan rokok elektronik secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah dikatakan amat membimbangkan. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan sedang meneliti beberapa pilihan bagi membendung penggunaan rokok elektronik dan vape termasuk peraturan jualan yang ketat atau pengharaman sepenuhnya.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, pihaknya masih memerlukan lebih banyak data maklumat berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Boon Chye berkata, langkah demikian wajar diambil memandangkan masalah pengunaan rokok elektronik dan vape dilihat semakin tidak terkawal di kalangan pelajar sekolah.
“Keputusan belum diputuskan sama ada e-cigaratte atau vape itu kita nak larang seratus peratus ataupun kita nak kenakan sekatan yang ketat dari segi penjualan ada nikotin atau penjualan tanpa nikotin.
“Jadi ini beberapa pilihan yang kita ada kaji melalui jawatankuasa khas tersebut di mana saya pengerusi dan keputusan akan dibuat sebaik sahaja kita ada maklumat yang selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Budimu Ditatang, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, di Ipoh pada Khamis.
Katanya lagi, keputusan mengenai perkara itu dijangka diketahui pada tahun depan, bergantung kepada pengumpulan data maklumat yang diperlukan.
Boon Chye berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini mengenai 50 NGO menandatangani memorandum, mendesak kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape demi kepentingan kesihatan masyarakat.
Laporan itu juga dipetik sebagai berkata pasaran dan penggunaan rokok elektronik secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah amat membimbangkan.
BACA: NGO gesa pengharaman vape secara menyeluruh
Ia termasuk ketagihan nikotin, kerana ramai pelajar terpedaya dengan mesej kesihatan yang salah, menyatakan rokok elektronik selamat digunakan.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan akan membentangkan akta baharu berkaitan pengunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan sisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac depan.
#Jabatan Kesihatan Negeri Perak #Kementerian Kesihatan #Lee Boon Chye #nikotin #pelajar sekolah #rokok elektronik #vape