BANGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan komitmennya untuk tidak membiarkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelut sendirian dalam menghadapi cabaran kos sara hidup pascaperkhidmatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, kerajaan telah merangka ekosistem sokongan yang komprehensif, khususnya melalui program utama PROWIRA Readiness-to-work, program reskilling and upskilling bagi memastikan golongan ini terus produktif dan berdaya saing.
Advertisement
Beliau berkata inisiatif ini dirangka sebagai peluang kedua bagi veteran untuk beralih ke dunia korporat dan industri dengan sokongan kewangan serta latihan yang kukuh daripada pihak kerajaan.
Menurut beliau, program PROWIRA bagi veteran mempunyai keunikan tersendiri berbanding program graduan biasa.
"Jika PROWIRA graduan memerlukan ijazah atau diploma, program khusus untuk veteran ini lebih inklusif dan tidak menetapkan syarat akademik yang ketat.
"Veteran boleh pergi ke mana-mana industri atau syarikat untuk mendapat latihan. Semasa tempoh latihan tersebut, kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM2,000 sebulan selama satu tahun.
“Kita berharap dengan pendedahan ini, syarikat akan melihat potensi mereka dan seterusnya menyerap mereka sebagai kakitangan tetap," ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Veteran ATM, di sini, pada Isnin.
Selain itu, bagi veteran yang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran, kerajaan sedia membiayai yuran pengajian di institusi yang diiktiraf bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan yang lebih tinggi di pasaran kerja.
Selain sektor perindustrian, Mindef turut melihat sektor pertanian sebagai cabang ekonomi yang berpotensi besar.
Melalui kerjasama dengan Boustead Plantations, veteran ditawarkan peluang untuk terlibat dalam program tanaman kontan (cash crops) seperti halia dan lada.
"Bagi veteran yang mempunyai tanah, mereka boleh menyertai program di bawah Boustead Plantations. Mereka tanam, dan pihak Boustead akan membeli hasil tersebut. Ini memastikan usaha mereka tidak sia-sia dan mempunyai jaminan pasaran yang jelas," tambahnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai realiti persaraan awal anggota tentera yang rata-ratanya berpencen pada usia 39 tahun.
Beliau menekankan bahawa pada usia tersebut, keperluan kewangan lazimnya berada di tahap puncak kerana komitmen keluarga dan pendidikan anak-anak yang masih membesar.
"Kita tidak mahu mereka sekadar berkata 'saya sudah pencen, saya mahu makan pencen sahaja'. Itu tidak mencukupi.
“Veteran mesti ada kesedaran untuk meningkatkan taraf hidup. Dengan adanya wang pencen ditambah dengan gaji yang baik hasil daripada pekerjaan baharu, mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah dan stabil," tegas beliau.
Langkah proaktif ini membuktikan bahawa kebajikan veteran bukan sekadar pemberian bantuan secara 'one-off', tetapi satu usaha berterusan dalam membina kemandirian ekonomi bagi menghargai jasa mereka kepada tanah air.