GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi menyiasat secara terperinci kejadian seorang anggota trafik mengasari seorang lelaki di sekatan jalan raya (SJR), di Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 1.15 pagi Ahad di SJR Op Selamat 18 dan video berkenaan tular di laman media sosial.

Mohd Shuhaily berkata sehingga siasatan selesai, kesemua pegawai dan anggota trafik yang terlibat dalam operasi di SJR itu dilucutkan sementara daripada tugas hakiki serta ditempatkan di bahagian pentadbiran.

"Saya telah mengarahkan bahagian siasatan jenayah saya untuk buka kertas enkuiri polis terlebih dahulu sebelum kita melihat jenayah dengan lebih mendalam.

"Jadi, mangsa masih belum tampil ke depan untuk buat laporan polis dan kita sedang cari mangsa untuk beliau buat laporan polis dan keterangan untuk dapat maklumat yang lengkap apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Tegasnya, siasatan akan dijalankan secara telus demi memberikan keadilan kepada semua pihak.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, polis sedang mengesan mangsa yang terbabit bagi tampil membuat laporan polis berkaitan insiden berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook itu untuk siasatan lanjut.

Pada Ahad, pihak polis telah mengesan satu rakaman video dashcam berdurasi 31 saat dimuat naik dalam Facebook oleh pemilik akaun Penang My Hometown, memaparkan seorang anggota trafik yang sedang bertugas di SJR mengasari seorang pesalah trafik.