IPOH: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Jalan Kuala Kangsar dekat sini, yang menjadi tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, lelaki berumur dalam lingkungan 50 tahun itu ditahan pada jam 3 petang semalam oleh sepasukan polis Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal yang disyaki ditunggang oleh suspek semasa kejadian untuk dijadikan sebagai barang kes dalam siasatan.

"Lelaki berkenaan ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

"Hasil semakan pihak polis mendapati suspek tersebut memiliki enam rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan jenayah narkotik.

"Pihak polis telah berjaya memperoleh perintah tahanan reman terhadap suspek tersebut selama tiga hari, bermula hari ini hingga Jumaat.

"Kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: Video tular gaduh: Polis cari penunggang motosikal

Yahaya turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan sikap berhemah dan bertoleransi.

Sebelum ini media melaporkan, polis mencari penunggang motosikal yang didakwa terlibat dalam video tular berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kuala Kangsar arah Chemor pada jam kira-kira 10.15 pagi, Ahad lalu.