IPOH: Polis mengesan mengesan penunggang motosikal yang didakwa terlibat dalam video memaparkan satu pergaduhan dipercayai berlaku Jalan Kuala Kangsar dekat sini yang tular.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata usaha menjejaki individu berkenaan bertujuan membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Katanya hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kuala Kangsar arah Chemor pada jam kira-kira 10.15 pagi, Ahad lalu.

Jelas beliau, semasa kejadian, pemandu kereta yang dalam perjalanan dari Bandaraya Ipoh menghala ke Klebang Restu telah memberi hon peringatan kepada seorang penunggang motosikal yang dikatakan menunggang dalam keadaan berbahaya.

“Penunggang motosikal tersebut dipercayai tidak puas hati terhadap tindakan pemandu kereta itu lalu membaling batu ke arah kereta yang menyebabkan pemandu kereta telah memberhentikan kenderaannya dan telah berlaku sedikit kemalangan.

“Pihak polis ingin menjelaskan bahawa tiada pergaduhan berlaku di antara kedua-dua individu tersebut. Namun pemandu kereta mengaku ada menolak penunggang motosikal seperti mana yang terpapar dalam video yang tular.

“Setelah berlaku konfrantasi di atas jalan raya, penunggang motosikal tersebut meminta maaf dengan pemandu kereta itu lalu beredar dari tempat kejadian tanpa membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Pada masa sama Yahaya berkata, hasil semakan pihaknya mendapati ada menerima satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan yang dibuat pemandu pada 1.13 tengah hari Balai Polis Kampung Tawas, pada hari sama kejadian.

Justeru kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Dalam perkara ini, Polis Daerah Ipoh menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan sikap berhemah dan berhati-hati semasa menggunakan kenderaan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

Terdahulu tular video berdurasi 29 saat di media sosial memaparkan pergaduhan di jalan raya melibatkan penunggang motosikal dengan seorang pemandu.