IPOH: Polis meminta individu merakam video yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui bumbung tembus cahaya atau ‘sunroof’ dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dekat sini yang tular di media sosial untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan mendapati ia berlaku pada Rabu lalu pada jam kira-kira 10.40 malam di Jalan Sultan Idris Shah, dekat sini.

Menurutnya pihak polis juga telah berjaya mengesan pemandu dan penumpang yang berada dalam kenderaan MPV seperti dalam video tular berkenaan. 

“Ketiga-tiga individu yang kelihatan mengeluarkan kepala daripada kenderaan MPV dalam video-video tersebut masing-masing berumur 16 dan 13 tahun.

“Semasa kejadian, ibu kepada kanak-kanak tersebut juga berada di dalam kenderaan MPV yang dipandu oleh saudara mereka. Kini, pihak polis sedang mengesan individu yang merakam video-video tersebut untuk membantu siasatan.

“Dengan ini, pihak polis ingin menyeru kepada individu yang merakam video-video tersebut pada masa kejadian supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain, serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Pihak polis juga ingin memberi nasihat kepada orang ramai, khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak melakukan perbuatan yang mungkin mendatangkan bahaya untuk mengelakkan sebarang risiko keselamatan yang tidak diingini,” tambahnya lagi.

Sebelum itu tular di media sosial beberapa video yang berdurasi 24 saat dan 9 saat memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi bahaya dengan mengeluarkan kepala melalui bumbung tembus cahaya dari sebuah MPV.

Video yang tular sejak semalam itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.