Ringkasan AI
- Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.
- Penangguhan dibuat susulan persoalan perundangan berkaitan status baki hukuman penjara Najib selepas pembayaran denda RM50 juta bagi kes SRC International.
- Status penahanan Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada sehingga penelitian dan penjelasan lanjut selesai, tertakluk kepada arahan pihak berkuasa berkenaan.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada 18 September 2026.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, penangguhan itu dibuat susulan persoalan perundangan berhubung status baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International selepas beliau menjelaskan denda RM50 juta.
Menurut kenyataan itu, terdapat dua tafsiran yang memerlukan penelitian lanjut, termasuk sama ada pembayaran denda berkenaan hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara masih perlu dijalani sehingga 23 Ogos 2028.
Satu lagi tafsiran pula menyatakan pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa maksud keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.
Persoalan itu turut melibatkan kesan Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda berkenaan direkodkan.
Jabatan Peguam Negara menjelaskan, perintah mahkamah itu mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Sehubungan itu, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak adalah wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Order of Discharge tersebut diselesaikan,” menurut kenyataan itu, pada Jumaat.
Dalam tempoh berkenaan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan status penahanan Najib hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
Penangguhan itu juga bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaannya serta perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat dan selaras dengan kedudukan undang-undang.
Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya selepas penelitian dan penjelasan berhubung perkara itu selesai dilaksanakan.