KUALA LUMPUR: Cukup berbahaya.

Itu apa yang dilalui oleh para pelajar di Sekolah Kebangsaan Nangkawangan, Nabawan untuk pergi dan pulang dari sekolah ke rumah mereka.

Bukan hanya menaiki rakit, ada juga yang menggunakan 'dron' seperti kereta kabel ala kampung untuk menyeberangi sungai.

Beberapa video para pelajar dan masyarakat Kampung Nangkawangan itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, bulan depan, nasib mereka mungkin berubah. Ada sedikit keselesaan buat penduduk di sana.

Sebuah jambatan gantung yang menghubungkan Sekolah Kebangsaan Nangkawangan, Nabawan akan dibina bulan depan bagi memudahkan urusan para murid dan penduduk kampung tersebut.

Foto ihsan Zazila Roslan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Yassin berkata, setakat ini, pejabat daerah Nabawan dan pihaknya sudah meluluskan pembinaan jambatan gantung itu dan sedang menunggu proses dokumentasi peruntukan.

"Pada dasarnya kita telah meluluskan tetapi masih dalam proses dokumentasi mendapatkan peruntukan. Kita jangka dua minggu selepas bulan ramadan kita akan memulakan projek pembinaan ini.

"Selain itu, kita juga telah menasihatkan para ibu bapa dan murid untuk mengambil langkah keselamatan agar mereka tidak bersendirian menyeberangi sungai itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Abdul Ghani menambah, beberapa jambatan gantung di daerah Nabawan rosak terus susulan kejadian banjir besar yang berlaku pada dua bulan lalu. Kerosakan itu termasuk jambatan gantung SK Nangkawangan, Nabawan.

Kampung Nangkawangan merupakan satu-satunya kampung yang terletak menyeberangi sungai.

Katanya, pembinaan jambatan gantung baharu itu juga mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Sabah termasuk membuat jambatan untuk laluan balak.

"Saya telah suarakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini agar kerajaan mengambil alih jalan-jalan balak ini agar peruntukan perancangan dapat dilakukan oleh kerajaan untuk masyarakat tempatan," katanya.