KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan Petra Datuk Vinod Sekhar disaman oleh 12 pelabur dan bekas pekerjanya atas dakwaan penipuan, lapor sebuah portal.

Portal tersebut memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Tetuan Goh Wong Pereira pada Isnin yang memaklumkan isteri Vinod, Winy Yeap Liew Heoh turut dinamakan sebagai defendan.

“Vinod, salah seorang ahli perniagaan berprofil tinggi negara, disaman atas dakwaan penipuan, salah nyata, pelanggaran kontrak dan pengakuan hutang.

“Plaintif, yang datangnya dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Panama, United Kingdom, Dubai dan Thailand, mendakwa Vinod memujuk mereka untuk melabur dalam perniagaan Getah Hijaunya, walaupun tidak memaklumkan statusnya sebagai seorang bankrap.

"Plaintif menuntut hanya di bawah RM30 juta, termasuk faedah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, plaintif mendakwa Vinod telah memberi jaminan bahawa seorang bernama "Anwar", yang difahamkan sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menyelesaikan sebarang isu berkaitan status ahli perniagaan itu sebagai bankrap.

Kenyataan itu menambah bahawa plaintif mahu setiap individu yang dinamakan dalam tindakan undang-undang hadir sendiri untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi, yang mungkin termasuk Anwar.

“Pada Disember tahun lalu, Vinod memohon injunksi publisiti bagi menghalang plaintif membincangkan kes itu secara terbuka, yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Usul selari untuk membatalkan tindakan itu juga ditolak, menghapuskan halangan terakhir yang mungkin menghalang kes itu untuk dibicarakan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi.

“Plaintif memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas didapati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka penyiasatan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai melibatkan Vinod pada November 2021.

"Keputusan itu juga diambil selepas laporan pada Februari 2022 bahawa Vinod telah menjual ventilator buatan China kepada kerajaan Hungary pada banyak kali (melebihi) harga pasaran semasa permulaan pandemik COVID-19," kata kenyataan itu.