KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi menguruskan visa menunaikan ibadah haji.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj, yang mewakili pasangan berkenaan untuk mendapatkan pasport bermula hari ini hingga Isnin depan.
Advertisement
“Pasport akan diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini dan pemohon perlu mengembalikan pasport mereka kepada mahkamah pada 9 Mac ini,” katanya.
Terdahulu, Shaarvin berkata pihaknya memohon pelepasan sementara pasport bagi membolehkan pasangan suami isteri itu menguruskan permohonan visa dan selepas visa diperoleh, mereka akan menempah tiket untuk ke Mekahbagi menunaikan ibadah haji.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan pasangan itu.
Pada 5 Dis 2024, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA